Thursday 7 July 2011

Wahan


Pelik benar manusia ini ada ketikanya. Selalunya dia akan sentiasa berusaha untuk mempercepatkan dirinya agar tiba ke kuliah atau ke tempat kerja tepat pada masanya. Iyalah, takut- takut nanti dimarahi oleh majikan ataupun didenda oleh guru- gurunya.

Kalau yang nak hadir ke mesyuarat pula, pasti dia akan mempersiapkan diri terlebih dahulu. Segala laporan yang perlu dilengkapkan dan dia akan berusaha bersungguh- sungguh untuk tiba awal ke lokasi. Mana boleh datang lambat. Lagi- lagi kalau dia merupakan kepala dalam organisasi tersebut, memang pantang untuk menonjolkan kekurangan di hadapan anak buah. Malu, nanti mesti ramai anak buah yang pandang sinis dan mengumpat itu dan ini tentangnya.

Nak menghadapi peperiksaan pun, pasti setiap daripada calon akan mempersiapkan diri dengan mengulang kaji satu persatu nota yang ada. Bukan setakat membaca, dia juga turut menambah usahanya dengan membuat pelbagai latihan. Barulah yakin untuk melangkahkan kaki ke dewan peperiksaan nanti. Barulah boleh berjaya.

Macam- macam ragam kita. Kita selalu berjaga- jaga dalam menghadapi manusia dan kehidupan di dunia. Tak salah pun sebenarnya kita membuat persediaan itu dan ini. Memang tugas kita pun untuk berusaha sehabis baik. Memang itu kewajipan dan amanah kita. Tapi sedar atau tidak, adakalanya kita sering berlengah- lengah terhadap Rabbi. Sedangkan, DIA lebih berhak.

Seringkali, kita lambat- lambat untuk solat di awal waktu. Manakan tidak, kita terlalu asyik menonton rancangan kegemaran kita di televisyen ataupun berbual . Kita sibuk.

Adakalanya pula, Al-Quran kadang- kadang kita selak dan baca sehelai dua sahaja dalam sehari. Kita tahu bahawa al-Furqan itu merupakan manual kehidupan kita, tapi kita lebih asyik untuk membaca majalah atau novel cinta berbanding menyelami makna- makna yang terkandung dalam al-Quran itu sendiri.

Inilah dia penyakit wahan yang sangat berbahaya.

Daripada Tsauban r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi s.a.w. menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’.”

Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi s.a.w. kita menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati.”(Riwayat Abu Daud)

Buih- buih di lautan memang banyak tapi pasti ianya akan punah apabila dipukul ombak. Tidak kuat dan tidak teguh. Moga kita tidak menjadi seperti buih.

Moga kita menjadi hamba yang sentiasa menjaga hubungannya dengan Al-Khaliq, Pencipta kita. Sesungguhnya memelihara tindak tanduk kita dihadapan Rabbi adalah lebih penting daripada segala- galanya.

" Dan tidak dijadikan jin dan manusia itu melainkan untuk memperhambakan diri kepadaKU" [surah Az-zariyat:56]