Monday 20 September 2010

Cuti dan kuliah~

Sibuk sungguh saya beraya tahun ini. Tapi tak apa, saya sangat gembira. Bukan senang nak jumpa saudara mara dan kawan- kawan lama semua kan. Mana taknya, jadual pembelajaran dan cuti mereka semua adalah berbeza-beza . Masa macam ini sahajalah saya berpeluang untuk bersua muka dengan mereka semua. Tapi, tak banyak pun gambar  yang ditangkap tempoh hari. Simpan memori dalam kepala sahaja :D

Tapi hari ini adik- adik saya semua sudah mula bersekolah semula. Petanda cuti saya pun hampir tamat. Tak lama lagi saya akan kembali ke bumi Mesir semula. Sudah tentu selepas ini saya akan bakal merindui gelak ketawa, borak- borak dan sakat menyakat dengan ahli keluarga semua. Dan kali ini juga, saya perlu menjadi pelajar yang hyper-rajin untuk studi akibat peristiwa pada permulaan sesi  pembelajaran bagi tahun keempat ini. Sampai sahaja di Kaherah nanti saya akan menjadi seorang yang sangat sibuk. Jadi kepada diri saya sendiri dan golongan yang  seangkatan, sila bersedia :D

 

Wednesday 8 September 2010

Belajar dari sejarah

 Ini  adalah doa Nabi Daud a.s. yang diberitakan oleh Rasulullah SAW:

اللهم اني اسالك حبك وحب من يحبك

والعمل الذى يبلغنى حبك

اللهم اجعل حبك احب الى من نفسى

واهلى ومن الماء البارد

Ya Allah,sesungguhnya aku memohon kepadaMu untuk tetap mencintaiMu, dan orang yang engkau cintai, serta dapat beramal yang dapat menyampaikan kepadaku untuk mencintaiMu. Ya Allah, berkenanlah kiranya engkau menjadikan cinta kepadaMu melebihi cintaku terhadap diriku sendiri dan keluargaku dan dari air yang sejuk.

...Menyoroti sejarah Islamiah sebenarnya memperkenalkan diri kita dengan insan- insan yang sangat dekat di sisi Allah. Perjalanan  dan kesudahan hidup mereka di dunia ini adalah baik dan wajar bagi kita untuk mengambil pengajaran daripada mereka semua ini. Mereka banyak mengajar kita untuk mencintai dan mendapatkan keredhaan Allah.

Menghayati sejarah hidup tokoh-tokoh Islam yang hebat mampu memberi motivasi kepada kita dalam mengharungi cabaran hidup seharian. Hebatnya individu- individu yang real ini di sisi Allah adalah kerana mereka mempunyai akhlak yang baik dan iman yang sangat tinggi. Secara tidak langsung kita pun akan berusaha untuk menjadi individu yang baik seperti mereka bukan?

Belajarlah daripada umat- umat terdahulu. Jika dilihat pula kepada manusia- manusia yang zalim, kita akan cenderung mengambil pengajaran dan iktibar daripada kisah hidup mereka. Moga dengan mempelajari dan menghayati semua ini menambah taqwa kita kepada Allah. Jom sama- sama baiki diri!           

*Seronok baca buku-buku sejarah ini, nanti nak sambung kat Cairo. Doakan.

**Bawa balik buku kuliah juga untuk dibaca sepajang cuti ini, tapi buku- buku lain lebih memikat    untuk dibaca. Jadi buku kuliah kurang terusik :)

*** Aidilfitri tinggal lagi sehari, adik- adik pun semua telah mula bercuti, semua sudah ada di rumah. Jadi aktiviti sakat-menyakat bermula :)   

  

Wednesday 1 September 2010

Merdekakah kita?

 

Alhamdulillah di atas nikmat yang dikurniakan Allah, hari ini negara kita bebas daripada cengkaman penjajah. Tiada lagi sekatan untuk kita dalam melakukan aktiviti- aktiviti seharian. Malah kita juga mampu mencari rezeki secara bebas dan menimba ilmu untuk keperluan hidup kita. Saya jadi terharu atas rezeki yang dikurniakan oleh Allah ini. Tapi setiap kali saya mengenangkan tentang perkara ini, saya menjadi sedikit gusar. Secara lahirnya, negara kita memang telah bebas merdeka. Tetapi bagaimana pula dengan diri kita sendiri, adakah jiwa kita juga telah merdeka?

Cuba kita lihat rakyat Palestin( contohnya),betapa merdekanya jiwa mereka. Lihat bagaimana mereka berusaha bersungguh- sungguh menegakkan islam di bumi Palestin tercinta. Tidak pernah mereka menyerah kalah walau pada umumnya kita tahu bahawa negara tersebut telah lama mengalami pelbagai bentuk ancaman musuh- musuh Islam. Tetapi iman yang kukuh di dalam dada mereka mengatasi segala-galanya. Tidak sedikit pun mereka gentar dan berusaha menentang musuh hatta dengan cara membaling sekecil-kecil batu sekalipun.Kalau kita agaknya  mengalami suasana seperti mereka, adakah kita masih kekal berdiri mempertahankan kesucian agama kita atau tunduk menyerah kalah? Apakah mungkin nanti kita akan turut lemas dan terus berkeputusan untuk  melaksanakan kemahuan pihak musuh?

Kita lihat pula bagaimana para sahabat Rasulullah SAW mempertahankan akidah islam. Contohnya Saidina  Bilal bin Rabah ra. Beliau adalah seorang hamba yang merdeka jiwanya. Tetap teguh menyeru AHAD, AHAD, AHAD… Tuhan Yang Maha Esa meskipun disiksa dengan pelbagai bentuk siksaan dan disuruh meninggalkan agama Islam yang dipercayai! Subhanallah. Seorang Bilal yang baru menganut Islam ketika itu mempunyai iman yang cukup mendalam. Jiwanya merdeka, bebas daripada sebarang pengaruh luar. Bagaimana dengan diri kita sendiri, adakah jiwa kita turut merdeka dengan Islam dan iman yang kukuh?

Kadang- kadang hati ini merasa sayu. Kelihatan kini pemikiran sebahagian daripada kita para muslim  masih tidak merdeka lagi sebenarnya. Masih ramai lagi yang mengagungkan budaya pemakaian barat, mengamalkan gaya hidup bebas antara lelaki dan perempuan, hanyut dengan hiburan melampau dan pelbagai lagi gejala sosial. Bukankan Islam itu adalah agama yang syumul  yang mengajar kita selengkap-lengkapnya keperluan hidup kita sebagai manusia? Dan mengapa kini ramai diantara kita yang masih “berbahagia” dengan pengaruh- pengaruh barat sebegitu? 

                Ingatlah suatu ketika sebelum Rasulullah SAW meninggalkan kita, baginda SAW pernah bersabda:

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.Sesungguhnya  aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.”

Moga kita tetap  teguh dalam berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang ditinggalkan oleh baginda SAW. Dan moga saya dan kamu semua memiliki jiwa yang merdeka dengan Islam dan cuba menghayati ajaran agama ini dengan  sebenar-benarnya. Moga bumi Malaysia yang kita cintai ini juga kekal merdeka di bawah rahmat dari Ilahi.

* Entri ini nak tulis semalam sebenarnya, tapi tak sempat :)

** Jom kita kejar pahala di akhir Ramadhan ini!