Wednesday 1 September 2010

Merdekakah kita?

 

Alhamdulillah di atas nikmat yang dikurniakan Allah, hari ini negara kita bebas daripada cengkaman penjajah. Tiada lagi sekatan untuk kita dalam melakukan aktiviti- aktiviti seharian. Malah kita juga mampu mencari rezeki secara bebas dan menimba ilmu untuk keperluan hidup kita. Saya jadi terharu atas rezeki yang dikurniakan oleh Allah ini. Tapi setiap kali saya mengenangkan tentang perkara ini, saya menjadi sedikit gusar. Secara lahirnya, negara kita memang telah bebas merdeka. Tetapi bagaimana pula dengan diri kita sendiri, adakah jiwa kita juga telah merdeka?

Cuba kita lihat rakyat Palestin( contohnya),betapa merdekanya jiwa mereka. Lihat bagaimana mereka berusaha bersungguh- sungguh menegakkan islam di bumi Palestin tercinta. Tidak pernah mereka menyerah kalah walau pada umumnya kita tahu bahawa negara tersebut telah lama mengalami pelbagai bentuk ancaman musuh- musuh Islam. Tetapi iman yang kukuh di dalam dada mereka mengatasi segala-galanya. Tidak sedikit pun mereka gentar dan berusaha menentang musuh hatta dengan cara membaling sekecil-kecil batu sekalipun.Kalau kita agaknya  mengalami suasana seperti mereka, adakah kita masih kekal berdiri mempertahankan kesucian agama kita atau tunduk menyerah kalah? Apakah mungkin nanti kita akan turut lemas dan terus berkeputusan untuk  melaksanakan kemahuan pihak musuh?

Kita lihat pula bagaimana para sahabat Rasulullah SAW mempertahankan akidah islam. Contohnya Saidina  Bilal bin Rabah ra. Beliau adalah seorang hamba yang merdeka jiwanya. Tetap teguh menyeru AHAD, AHAD, AHAD… Tuhan Yang Maha Esa meskipun disiksa dengan pelbagai bentuk siksaan dan disuruh meninggalkan agama Islam yang dipercayai! Subhanallah. Seorang Bilal yang baru menganut Islam ketika itu mempunyai iman yang cukup mendalam. Jiwanya merdeka, bebas daripada sebarang pengaruh luar. Bagaimana dengan diri kita sendiri, adakah jiwa kita turut merdeka dengan Islam dan iman yang kukuh?

Kadang- kadang hati ini merasa sayu. Kelihatan kini pemikiran sebahagian daripada kita para muslim  masih tidak merdeka lagi sebenarnya. Masih ramai lagi yang mengagungkan budaya pemakaian barat, mengamalkan gaya hidup bebas antara lelaki dan perempuan, hanyut dengan hiburan melampau dan pelbagai lagi gejala sosial. Bukankan Islam itu adalah agama yang syumul  yang mengajar kita selengkap-lengkapnya keperluan hidup kita sebagai manusia? Dan mengapa kini ramai diantara kita yang masih “berbahagia” dengan pengaruh- pengaruh barat sebegitu? 

                Ingatlah suatu ketika sebelum Rasulullah SAW meninggalkan kita, baginda SAW pernah bersabda:

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.Sesungguhnya  aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.”

Moga kita tetap  teguh dalam berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang ditinggalkan oleh baginda SAW. Dan moga saya dan kamu semua memiliki jiwa yang merdeka dengan Islam dan cuba menghayati ajaran agama ini dengan  sebenar-benarnya. Moga bumi Malaysia yang kita cintai ini juga kekal merdeka di bawah rahmat dari Ilahi.

* Entri ini nak tulis semalam sebenarnya, tapi tak sempat :)

** Jom kita kejar pahala di akhir Ramadhan ini!



No comments: