Monday 30 August 2010

"Refresh" hati


Nak kongsi satu sajak. Kali ini kaedah copy paste digunakan. Saya minat kat sajak ni. Nak buat macam mana kan? :) 

Bila kita memulakan sesuatu...

Kadang-kadang kita lupa letakkan niat

Kadang-kadang kita lupa baca Bismillah

Sebab tu bila ada masalah,

Kita cepat menyerah...

 

Bila kita berniat...

Kadang-kadang kita lupa letakkan usaha,

Kadang-kadang kita tunggu disergah baru hendak mengolah,

Sebab tu bila kerja tak menjadi,

Kita mula angkat kaki...

 

Bila kita berusaha...

Kadang-kadang lupa pula hendak berdoa,

Siang malam kerah tenaga dan masa...

Sebab tu bila kerja masih tak sempurna,

Kita mudah putus asa...

 

Bila kita berniat, berusaha dan berdoa...

Kadang-kadang kita lupa pula untuk bertawakkal pada Yang Esa.

Bertawakal pun pada bicara tapi di hati masih buta.

Sebab tu bila dilanda masalah,

Kita marah tak tentu hala...

 

Bila kita berniat, berusaha, berdoa dan bertawakal...

Kadang-kadang kita tetap alpa,

Nak sebut Alhamdulillah pun payah,

Berdoa pun sekali sekala,

Bersyukur sekejap cuma..

 

Sebab tu bila kita berjaya,

Allah datangkan ujian dan musibah...

Supaya kita ingat dan kembali ke jalan redha,

Tetapi kita kecewa sampai mencari jalan mudah..

Membenci diri memusuhi nadi.

 

Sedangkan...

Kita manusia ciptaan Allah,

Bernafas di udara yang sama,

Bila lemah Allah itu ada,

Bila derita Allah itu bersama,

Senang, susah, sedih, gembira...

Allah takkan lupa pada langkah kita.

 

Tapi sememangnya lahiriah kita,

Kadang-kadang lebih suka dipuji,

Sebab itu kita jarang memuji Yang Maha Terpuji,

Kadang-kadang lebih suka dicintai,

Sebab itu kita lupa menyintai Yang Maha Menyintai,

Kadang-kadang kita lebih suka menyendiri,

Tapi lupa Allah sedang memerhati…

 

Sebab itu teruskanlah bermuhasabah pada pencipta,

Kerana dalam firman Allah;

"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. (Ar-Ra'd:11)

 

Kerana itu..

Pada masalah harus bersabar dan redha

Pada ujian harus tabah dan teguh

Pada kegagalan harus usaha, doa dan tawakkal

Pada kejayaan harus usaha, doa dan tawakkal..

 

Sama tetapi tidak serupa,

Kerana kejayaan di dunia bukan pengukur kejayaan di sana

Kekayaan harta di dunia bukan jaminan kebahagiaan di sana

Kesusahan dan penderitaan di dunia belum tentu bersambung di sana

Kealpaan kita di dunia pasti menjadi kesakitan kita di sana...

 

Di sana itulah yang perlu kita kejar,

Agar dunia mengikuti dengan redha...

 

Di sana,

Akhirat yang pasti...

Syurga yang terindah,

Atau

Neraka yang menyala!


* Sumber --> http://iluvislam.com/v1



Thursday 26 August 2010

Separa masa kedua

Hampir 3 minggu saya bercuti di Malaysia sebenarnya. 3 minggu yang telah berlalu dan bulan Ramadhan pun telah tiba ke separa masa kedua . Sekejap sangat bukan. Kalau dilihat ke kiri dan ke kanan sekarang, ramai di antara kita yang sedang bertungkus lumus untuk persiapan Syawal yang bakal tiba. Ada yang buat kuih raya, beli baju, tukar langsir dan macam-macam lagi aktiviti yang dilakukan. Saya tertanya-tanya, istimewa sangatkah Syawal yang bakal tiba nanti jika nak dibandingkan dengan Ramadhan?

 Saya pula, semenjak berada di Malaysia ini, memang jarang- jarang sekali keluar rumah. Masakan tidak, keadaan Malaysia yang kurang selamat sekarang menyebabkan ibu dan ayah saya sangat risau sekiranya saya berjalan keluar seorang. Rumah kenalan-kenalan saya kebanyakkannya terletak jauh daripada rumah saya. Ini satu lagi masalah :) Tiada teman untuk saya ajak keluar bersama. Tapi saya tak kisah sangat sebenarnya. Alhamdulillah. Boleh duduk di rumah. Saya seronok! Berlambak buku-buku baru yang boleh saya baca. Selain itu, boleh saya kurangkan aktiviti merayau saya sepanjang bulan Ramadhan kali ini. Hikmah yang tersembunyi mungkin!

Tapi dalam kenikmatan yang saya rasa sekarang, sebenarnya terselit juga kerisauan sebenarnya.

Apa khabar iman kita hari ini?

Bagaimana pula amal kita hari ini?

Soalan ini selalu menerjah masuk ke dalam kotak pemikiran saya. Madrasah Ramadhan yang merupakan peluang daripada Allah untuk saya menggilap keimanan semakin hampir ke penghujungnya. Saat malam Lailatul Qadr pula juga kian tiba. Kesimpulanya, bagi kita yang sedar cepat kejar peluang yang ada! Moga kita semua adalah mukmin yang berjaya. Sebelum mengakhiri kalam, nak kongsi satu video yang saya terjumpa dengan kalian semua. Tersentuh dengan kesungguhan kanak- kanak kecil ini dalam menuntut ilmu, mengapa tidak kita bukan?  




 

 

Wednesday 18 August 2010

Suatu rindu


Maaf. Maaf. Maaf. Sekian lama tidak menulis di sini. Saya pun tak tahu mengapa. Tapi kali ini saya ingin menunaikan janji saya untuk melakarkan serba sedikit diari hidup yang telah saya lalui sepanjang 2 minggu yang lepas. Kenangan di Haramain. Sampai sekarang  ini hati masih berbekas rindu dan rasa untuk menjejakkan kaki lagi ke tanah barakah tersebut. Ingin sekali  untuk menjadi tetamu Allah lagi.

                Sepanjang pengajian saya di Mesir, inilah jaulah pertama yang saya lakukan. Memang itulah rancangan yang pernah saya fikirkan sebelum menjejakkan kaki ke Mesir lagi. Iyelah, alang-alang sudah dekat sangatkan dengan tanah Mekah dan Madinah, jadi peluang yang ada ini baik jangan dilepaskan (dengan izin Allah). Dan akhirnya, tahun ini saya berpeluang untuk ke sana. Alhamdulillah. Hamba yang kerdil ini mendapat peluang tersebut.

                Makanya  pada hari yang telah dijanjikan, kami pun berkumpullah beramai-ramai di rumah Selangor, Hayyu Asyir sebelum bertolak ke lapangan terbang Kaherah. Allah sahaja yang tahu perasaan ketika itu, bercampur baur sungguh. Seronok tapi agak gementar. Tak jadi nak mengantuk rasanya walaupun penerbangan kami pada hari itu adalah pada pukul 2.45 pagi. Apa yang mampu dilakukan adalah hanya berdoa dan berzikir agar Allah memudahkan urusan kami di sana.

*******************************************************************************

                Akhirnya, selepas 6 jam perjalanan dari Jeddah tibalah kami di tanah kecintaan Nabi SAW, Madinah al-Munawarrah. Subhanallah walhamdulillah wallahuakbar. Masjidil Nabawi yang selama ini dilihat pada helaian-helaian gambar dan diceritakan melalui lembaran-lembaran sirah Rasulullah SAW kini telah tersergam di hadapan mata. Kebetulan pula kami mendapat peluang untuk menginap di hotel Shahba Thoiyyibah yang terletak berhampiran dengan Babus Salam, 5 minit perjalanan kaki ke arah masjid baginda SAW. Alhamdulillah.

                Setelah mengalami sedikit kesulitan di hotel, kami pun segera menuju  ke arah  masjid  tersebut. Tak tergambar perasaan saya ketika itu. Gembira dalam sayu apabila ditunjukkan ke arah makam kekasih Allah, Rasulullah SAW, makam Sayidina Abu Bakar As-Siddiq dan Makam Sayidina Umar al-Khattab. Makam-makam ini terletak di bawah kubah hijau.

 Petang itu saya tidak berpeluang untuk terus ke Raudhoh  di atas sebab- sebab yang tertentu. Lalu masa yang ada sebelum azan maghrib berkumandang saya gunakan untuk beriktikaf di dalam masjid sambil berzikir dan membaca al-Quran. Ditemani oleh makcik, memberi peluang kepada saya untuk menimba serba sedikit ilmu dan pengajaran daripadanya.

                Hari-hari yang berlalu sangat berharga dan peluang yang ada cuba saya gunakan semaksima mungkin. Ziarah ke kota Madinah selama 4 hari diteruskan dengan kembara ke kawasan-kawasan berhampiran yang menyimpan seribu satu sejarah pada hari-hari seterusnya. Kami sempat ke perkuburan Baqi’, Jabal Uhud, Masjid Quba’, lading kurma, dan lain-lain lagi.

Inilah kali pertama dan doa dipohon agar ini bukanlah yang kali yang terakhir. Harapan di hati agar kaki ini akan diizinkan lagi untuk menapak ke sana.   

            Doa Rasulullah SAW untuk kota Madinah, “ Ya Allah berikanlah kecintaan kami kepada Madinah, sebagaimana Engkau berikan kecintaan kepada Makkah, atau lebih dari itu, dan bersihkanlah ia serta berkatilah dalam makanan dan bekalnya, dan gantilah wabah penyakitnya dengan juhfah. (Hadith Muttafaq 'Alaih)

               

 

Thursday 12 August 2010

Ahlan Ramadhan!

Bismillahirrahmannirrahim

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa. "(Al-Baqarah : 183).

Alhamdulillah, bertemu sekali lagi dengan bulan yang teristimewa ini. Bulan yang dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam. Inilah madrasah yang terbaik untuk kita mendidik jiwa kita ke arah menjadi hamba yang benar-benar bertaqwa di sisi Allah dan moga nanti kita mampu meninggalkan dunia ini sebagai hamba yang berjaya di dunia dan akhirat. Di madrasah Ramadhan ini, Allah telah menyediakan untuk hamba-hambaNya dengan pelbagai jenis keistimewaan dan tawaran-tawaran yang lumayan. Tunggu kita sahaja yang nak ambil atau tidak tawaran-tawaran tersebut. Antaranya:

· Pahala yang berlipat kali ganda

· Malam Lailatul qadar

· Bulan di mana kita bebas daripada bisikan syaitan (tinggal nak kawal nafsu sahaja)

· Bulan ini sahaja yang ada solat tarawikh

Jom, kita ambil peluang ini. Susun strategi terbaik untuk menghadapi cabaran yang lebih hebat pada 11 bulan akan datang :). Masih tak terlambat lagi untuk kita susun “checklist” amalan-amalan harian kita untuk bulan ramadhan kali ini. Antara amalan-amalan yang boleh kita lakukan adalah:

· Qiamullail

· Sahur

· Baca al-Quran 1 juzu’ sehari (atau lebih)

· Solat dhuha

· Solat tarawikh

· Belanja orang sekeliling buka puasa

Betulkan niat. Moga amalan-amalan yang kita lakukan semata-mata kerana Allah dan bukan kerana manusia atau yang lain

"Puasa itu untuk-Ku dan Aku langsung membalasnya. Orang yang berpuasa mendapatkan dua kesenangan, iaitu kesenangan ketika berbuka puasa dan kesenangan ketika berjumpa dengan Tuhannya. Sungguh, bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada aroma kasturi." (Hadith Muttafaq 'Alaih).

Dan sabda Rasulullah SAW lagi :


"Barangsiapa berpuasa Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. " (Hadith Muttafaq 'Alaih)

Sekian dahulu. Agak sibuk sekarang. Lain kali ye! Wassalam.

Friday 6 August 2010

Kembali berpijak di bumi Mesir

Assalamualaikum wbt...

Tempoh singkat selama dua minggu di Haramain telah berlalu. Semalam alhamdulillah kami selamat tiba di lapangan terbang Cairo pada waktu awal pagi beberapa minit sebelum subuh. Sekarang hati ini sedang dibalut rindu dan sayu setelah meninggalkan Haramain, tanah yang melakar sirah perjuangan dan seribu satu kenangan nabi-nabi terdahulu. Tanah yang menjadi kecintaan setiap ummat Islam tempat menyuburkan sifat kehambaan setiap diri manusia terhadap rabbNya.

Moga dapat menjejak kaki lagi ke sana. InsyaAllah saya akan menceritakan serba sedikit pengalaman kami di sana untuk entri-entri yang akan datang. Maaf kerana terpaksa menunggu.

* Saya akan balik ke Malaysia 10 Ogos ini, sekarang tengah sibuk berkemas dan menyelesaikan apa yang patut. Doakan ye!