Wednesday 18 August 2010

Suatu rindu


Maaf. Maaf. Maaf. Sekian lama tidak menulis di sini. Saya pun tak tahu mengapa. Tapi kali ini saya ingin menunaikan janji saya untuk melakarkan serba sedikit diari hidup yang telah saya lalui sepanjang 2 minggu yang lepas. Kenangan di Haramain. Sampai sekarang  ini hati masih berbekas rindu dan rasa untuk menjejakkan kaki lagi ke tanah barakah tersebut. Ingin sekali  untuk menjadi tetamu Allah lagi.

                Sepanjang pengajian saya di Mesir, inilah jaulah pertama yang saya lakukan. Memang itulah rancangan yang pernah saya fikirkan sebelum menjejakkan kaki ke Mesir lagi. Iyelah, alang-alang sudah dekat sangatkan dengan tanah Mekah dan Madinah, jadi peluang yang ada ini baik jangan dilepaskan (dengan izin Allah). Dan akhirnya, tahun ini saya berpeluang untuk ke sana. Alhamdulillah. Hamba yang kerdil ini mendapat peluang tersebut.

                Makanya  pada hari yang telah dijanjikan, kami pun berkumpullah beramai-ramai di rumah Selangor, Hayyu Asyir sebelum bertolak ke lapangan terbang Kaherah. Allah sahaja yang tahu perasaan ketika itu, bercampur baur sungguh. Seronok tapi agak gementar. Tak jadi nak mengantuk rasanya walaupun penerbangan kami pada hari itu adalah pada pukul 2.45 pagi. Apa yang mampu dilakukan adalah hanya berdoa dan berzikir agar Allah memudahkan urusan kami di sana.

*******************************************************************************

                Akhirnya, selepas 6 jam perjalanan dari Jeddah tibalah kami di tanah kecintaan Nabi SAW, Madinah al-Munawarrah. Subhanallah walhamdulillah wallahuakbar. Masjidil Nabawi yang selama ini dilihat pada helaian-helaian gambar dan diceritakan melalui lembaran-lembaran sirah Rasulullah SAW kini telah tersergam di hadapan mata. Kebetulan pula kami mendapat peluang untuk menginap di hotel Shahba Thoiyyibah yang terletak berhampiran dengan Babus Salam, 5 minit perjalanan kaki ke arah masjid baginda SAW. Alhamdulillah.

                Setelah mengalami sedikit kesulitan di hotel, kami pun segera menuju  ke arah  masjid  tersebut. Tak tergambar perasaan saya ketika itu. Gembira dalam sayu apabila ditunjukkan ke arah makam kekasih Allah, Rasulullah SAW, makam Sayidina Abu Bakar As-Siddiq dan Makam Sayidina Umar al-Khattab. Makam-makam ini terletak di bawah kubah hijau.

 Petang itu saya tidak berpeluang untuk terus ke Raudhoh  di atas sebab- sebab yang tertentu. Lalu masa yang ada sebelum azan maghrib berkumandang saya gunakan untuk beriktikaf di dalam masjid sambil berzikir dan membaca al-Quran. Ditemani oleh makcik, memberi peluang kepada saya untuk menimba serba sedikit ilmu dan pengajaran daripadanya.

                Hari-hari yang berlalu sangat berharga dan peluang yang ada cuba saya gunakan semaksima mungkin. Ziarah ke kota Madinah selama 4 hari diteruskan dengan kembara ke kawasan-kawasan berhampiran yang menyimpan seribu satu sejarah pada hari-hari seterusnya. Kami sempat ke perkuburan Baqi’, Jabal Uhud, Masjid Quba’, lading kurma, dan lain-lain lagi.

Inilah kali pertama dan doa dipohon agar ini bukanlah yang kali yang terakhir. Harapan di hati agar kaki ini akan diizinkan lagi untuk menapak ke sana.   

            Doa Rasulullah SAW untuk kota Madinah, “ Ya Allah berikanlah kecintaan kami kepada Madinah, sebagaimana Engkau berikan kecintaan kepada Makkah, atau lebih dari itu, dan bersihkanlah ia serta berkatilah dalam makanan dan bekalnya, dan gantilah wabah penyakitnya dengan juhfah. (Hadith Muttafaq 'Alaih)

               

 

No comments: