Tuesday 20 July 2010

Ujian dan pengharapan

Macam-macam yang saya rasa sekarang. Tentang semalam dan esok. Semalam, membuatkan hati saya tertanya-tanya. Walau bagaimanapun, Alhamdulillah di atas setiap rezeki yang telah diberikan oleh Allah. Jangan putus-putus berdoa.Kita sekarang kesemuanya sedang diuji dan sangat memerlukan kebergantungan kepada Allah.

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”.(al- Baqarah: 214)

Bukankah setiap umat manusia tidak kira yang terdahulu mahupun yang sekarang sering diuji? Moga kita semua berjaya melepasi ujian dunia ini. Moga kita menjadi di antara hamba-hambaNya yang diredhai Allah dalam setiap perilaku kita.

Bercakap tentang esok, insyaAllah saya akan mengalami suatu permusafiran yang sedikit jauh. Maka di sini, saya ingin sekali memohon maaf di atas segala salah silap saya dan moga dihalalkan makan minum saya. Doakanlah ye. Moga semakin bercambah cinta terhadap Ilahi dan semoga semakin rindu untuk bertemu kekasihNya, Rasulullah SAW di sana.

Setiap pesanan dan ingatan daripada kalian amat saya hargai. Terima kasih ye. Sekian dahulu. Wassalam.

*Blog akan berehat selama lebih kurang 2-3 minggu.

Saturday 17 July 2010

Mereka

Semalam kami berjalan jauh. Keluar Kaherah lagi. Kali ini menemani sahabat untuk mencari barang-barang yang ingin dibawa pulang ke Malaysia. Selalunya, bila keluar macam ini, saya memang suka sangat tengok alam sekeliling dan gelagat orang ramai. Spesifiknya lagi gelagat orang arab. Banyak juga yang saya kagum dengan mereka ini. Biarlah orang nak kata mereka ini terukkan, yang penting kita boleh ambil sifat-sifat yang baik daripada mereka untuk dijadikan sebagai pengajaran. Jangan dicemuh keburukkan mereka kerana mereka juga manusia yang sedang memperbaiki kelemahan masing- masing. Apa yang lebih penting adalah kita berusaha meningkatkan akhlak kita, itukan lebih baik. Hari ini saya nak berkongsi tentang mereka.


Rajin mencari rezeki dan tidak memilih pekerjaan


Saya cukup kagum apabila melihat mereka sangat berusaha dalam mencari sesuap nasi (roti isy). Tidak memilih pekerjaan langsung. Semua jenis pekerjaan mereka buat sendiri tanpa mengharapkan bangsa asing. Sapu sampah, buruh, bercucuk tanam dan menjual apa sahaja di tepi jalan pun mereka buat. Bayangkan dalam negara yang mengalami pelbagai musim sebegini, sejuk dan panas semuanya mereka redah. Kadang- kadang itu sayu juga mata ini memandang. Ada sahaja di kalangan mereka yang sanggup naik dan turun kenderaan awam untuk menjual produk-produk mereka. Melompat turun dari bas kemudian ke stesen metro pula untuk menjual. Tapi asalkan rezeki halal mereka tak kisah walaupun terpaksa bersusah payah. Rajin betul.


Bersungguh-sungguh


Teringat pula ketika kami terpaksa bercampur dengan pelajar-pelajar arab untuk mendengar kuliah. Meningkat semangat saya rasanya. Bersungguh-sungguh betul mereka ini. Bayangkan setiap pelajar yand ada berebut-rebut untuk mendapatkan tempat yang paling hadapan dan paling hampir hampir dengan pensyarah. Terkadang itu, ada di antara mereka yang sanggup bersila di atas lantai untuk duduk di hadapan doktor. Kagum betul. Apabila tamat kuliah pula, ramai di kalangan mereka yang berebut-rebut untuk bertanyakan sebarang soalan. Lain pula dengan kita pelajar Malaysia, kadang-kadang itu malu dan pasif tidak bertempat. Jom semangat!


Mengimarahkan masjid/surau


Inilah suatu suasana yang saya sangat suka apabila berada di sini. Kalau di negara sendiri, jarang perkara ini berlaku. Biasanya bermusim seperti ketika bulan Ramadhan sahaja. Di sini, bukan setakat pakcik- pakcik tua sahaja yang pergi solat ke masjid. Semua peringkat umur ada. Dari yang kecil sehinggalah kepada yang sudah berumur. Asal tiba sahaja waktu solat, pasti mereka akan ke masjid untuk bersolat (terutama lelaki). Saf-saf yang tersusun pula bukan setakat sebaris dua, bahkan lebih dari itu. Bagus betul.


Setakat ini sahaja dahulu. Banyak lagi sebenarnya. Cuma tak larat pula nak tulis semua rasanya :) Cukuplah saya letakkan tiga terlebih dahulu di sini. Esok pun saya akan merayau lagi. Selang sehari pula. Doakanlah ye. Sekian dahulu. Wassalam.

Tuesday 13 July 2010

Cuti musim panas

Sungguh, musim panas ini banyak kali saya keluar dan masuk rumah. Penat juga rasanya. Macam-macam saya buat. Ada ketikanya saya ke kelas-kelas itu dan ini, ziarah rakan-rakan, bermusafir keluar Kaherah, bermain sukan (adakah bowling itu sejenis sukan? huhu) dan macam-macam lagi aktiviti yang saya lakukan sepanjang dua minggu pertama cuti kali ini. Apa-apapun Alhamdulillah. Masa cuti kali ini bolehlah dikatakan agak terisi dengan perkara-perkara yang berfaedah. Jika tidak sudah tentu saya akan merasa teramat bosan dan akan terperap sahaja di dalam rumah. Janganlah pula nanti makan dan tidur sahaja. Teruk betul.

Hakikatnya setiap masa yang kita ada sebolehnya kita manfaatkan. Berusaha ye! Paling tidak pun sekiranya kita berada di dalam rumah, kita boleh menambah bekalan akhirat kita dengan hanya membaca al-Quran. Bahkan sekiranya kita membaca buku medikal :) sekalipun sekiranya disertakan niat kerana Allah pasti amalan tersebut akan menambah neraca amal kita. Banyak sangat aktiviti-aktiviti lain yang boleh kita lakukan. Dengar lagu dan tengok tv pun boleh. Asalkan rancangan dan lagu yang bersesuaian sambil diserikan lagi dengan niat kerana Allah. Mudah bukan? Oh, Islam memang tidak membebankan kita walau sedikit pun.

Sebenarnya kali ini nak promosi kepada diri sendiri dan pembaca semua. Sedar tak sedar kita telah berada di bulan Syaaban. Lagi sebulan sahaja lagi Ramadhan akan tiba. Amaran! Tingkatkan gear anda dengan menambah amal-amal ibadah. Jangan ditunggu ramadhan tiba baru ingin meningkatkan amalan. Lesu dan lembik nanti! Jom~

*Sudah lapar dan saya mahu makan.

**Baru pulang dari hayyu Sabi’ melakukan sesuatu.

Monday 12 July 2010

Ukhwah

Bismillahirrahmanirrahim

Salam ukhwah. Saya sayang kamu semua. Sayang kerana Allah:) Hari ini saya ingin menulis tentang ukhwah. Penting perkara ini. Manakan tidak, seumur hidup saya dan kamu juga kita sering terkesan dengan ukhwah yang dijalinkan sesama kita. Ukhwah menjadi titik-titik yang mengajar dan membentuk diri kita.

Sebetulnya, saya bukanlah seorang pelajar jurusan agama untuk menulis perkara ini secara mendalam. Hanya sekadar sekelumit sahaja yang ingin saya kongsikan. Saya mahu menulis. Ukhwah dalam erti kata mudah adalah persaudaraan. Tapi sebagai seorang mukmin, sudah pasti persaudaraan itu bukan jenis yang biasa-biasa sahaja. Kita ada panduan dalam berukhwah.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia mengasihi saudaranya, seperti mana ia mengasihi dirinya sendiri." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Tentu sekali kalian semua pernah mendengar hadith ini bukan? Hadith yang kerap diulang-ulang. Tapi sejauh mana kita faham dan hayati makna hadith ini.

Agak sukar untuk kita membandingkan diri kita dengan para sahabat Nabi SAW. Sehinggakan ketika peristiwa hijrah , Saidina Ali bin Abi TAlib ra. sanggup menggantikan tempat tidur baginda SAW pada malam itu walaupun beliau tahu akan ancaman bunuh yang mungkin akan mengancam nyawa beliau sendiri. Kalaulah kita di dalam suasana getir seperti itu, bagaimana pula ye? Dalam peristiwa yang sama juga saat tibanya kaum Muhajirin di Madinah, kaum Ansar telah sedia untuk menghulurkan pelbagai bentuk bantuan. Ada di antara mereka yang sanggup menghulurkan tempat tinggal, makanan dan sebagainya. Mereka berkorban apa sahaja sedangkan mereka bukanlah berasal dari sebuah keluarga. Inilah hasil daripada kemanisan ukhwah yang mereka hayati. Ukhwah fillah.

Namun begitu, perlu kita sedari bahawa ukhwah di dalam Islam itu ada batas-batasnya. Sepertimana yang telah disebut di dalam al-Quran “… Dan bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah , kepada Allah, karena sesungguhnya Allah sangat berat siksanya” (al-Maidah: 2). Kalau kita selami, memang banyak lagi kandungan di dalam al-Quran dan as-Sunnah yang boleh kita ambil sebagai panduan untuk kita berukhwah.

Di sini saya sediakan senarai yang perlu kita ambil berat dalam berukhwah untuk kegunaan kita bersama.

1. Ikhlaskan diri kerana Allah

2. Menziarahi antara satu sama lain

3. Jaga batas-batas pergaulan lelaki dan perempuan

4. Memperkukuhkan silaturrahim dengan bersedekah/memberi hadiah

5. Menjauhi daripada memutuskan tali persaudaraan.

Sekian dahulu.Wassalam.


Sunday 11 July 2010

Pertama

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, akhirnya blog ini berjaya dibina. Sebenarnya, sudah sekian lama sebelum ini saya berhajat untuk menulis di alam maya ini. Tapi baru sekarang perkara ini menjadi kenyataan. Itupun setelah saya saya timbang-timbangkan baik buruk saya menulis di sini. Tidak perlulah saya menyatakan di sini mengapa blog ini dibuat. Cumanya, ingin saya maklumkan di sini bahawa blog ini adalah satu-satunya bahagian di alam maya ini yang saya buka untuk diri saya menulis dan berkongsi setelah akaun FB saya telah ditutup :) Sehingga kini, saya masih tidak tahu sama ada akaun itu akan diaktifkan semula atau selama-lamanya akan dibiarkan sebegitu. Doakanlah apa yang terbaik ye.

Saya sangat berharap agar ruangan ini boleh menjadi tempat saya dan pembaca-pembaca semua berkongsi ilmu dan pendapat selain merapatkan lagi ukhwah sesama kita. Buat yang jauh di mata tetapi dekat di hati, kalian bolehlah mengintai-intai saya di sini dan mendoakan saya. Buat yang dekat, saya memerlukan kalian untuk turut sama berusaha dalam mengejar hikmah di dunia ini. Mari mewarnai pelangi hidup kita sebaiknya! Oh ye, yang jauh tidak semestinya tidak perlu berjuang mencari pelangi terbaik itu ye! Mari sama-sama kita melangkah!

Sebelum mengakhiri entri kali , perlu saya maklumkan di sini bahawasanya saya agak kekurangan dalam menulis :) Jadi berkongsi dan tegurlah salah silap saya ye! Saya insan kerdil dan saya memerlukan nasihat dan krtitikan secara baik berbanding umpatan mahupun penghinaan. Harap kalian faham.Moga saya terus bermujahadah dalam menulis di blog ini. Itu sahaja buat kali ini. Wassalam