Saturday 17 July 2010

Mereka

Semalam kami berjalan jauh. Keluar Kaherah lagi. Kali ini menemani sahabat untuk mencari barang-barang yang ingin dibawa pulang ke Malaysia. Selalunya, bila keluar macam ini, saya memang suka sangat tengok alam sekeliling dan gelagat orang ramai. Spesifiknya lagi gelagat orang arab. Banyak juga yang saya kagum dengan mereka ini. Biarlah orang nak kata mereka ini terukkan, yang penting kita boleh ambil sifat-sifat yang baik daripada mereka untuk dijadikan sebagai pengajaran. Jangan dicemuh keburukkan mereka kerana mereka juga manusia yang sedang memperbaiki kelemahan masing- masing. Apa yang lebih penting adalah kita berusaha meningkatkan akhlak kita, itukan lebih baik. Hari ini saya nak berkongsi tentang mereka.


Rajin mencari rezeki dan tidak memilih pekerjaan


Saya cukup kagum apabila melihat mereka sangat berusaha dalam mencari sesuap nasi (roti isy). Tidak memilih pekerjaan langsung. Semua jenis pekerjaan mereka buat sendiri tanpa mengharapkan bangsa asing. Sapu sampah, buruh, bercucuk tanam dan menjual apa sahaja di tepi jalan pun mereka buat. Bayangkan dalam negara yang mengalami pelbagai musim sebegini, sejuk dan panas semuanya mereka redah. Kadang- kadang itu sayu juga mata ini memandang. Ada sahaja di kalangan mereka yang sanggup naik dan turun kenderaan awam untuk menjual produk-produk mereka. Melompat turun dari bas kemudian ke stesen metro pula untuk menjual. Tapi asalkan rezeki halal mereka tak kisah walaupun terpaksa bersusah payah. Rajin betul.


Bersungguh-sungguh


Teringat pula ketika kami terpaksa bercampur dengan pelajar-pelajar arab untuk mendengar kuliah. Meningkat semangat saya rasanya. Bersungguh-sungguh betul mereka ini. Bayangkan setiap pelajar yand ada berebut-rebut untuk mendapatkan tempat yang paling hadapan dan paling hampir hampir dengan pensyarah. Terkadang itu, ada di antara mereka yang sanggup bersila di atas lantai untuk duduk di hadapan doktor. Kagum betul. Apabila tamat kuliah pula, ramai di kalangan mereka yang berebut-rebut untuk bertanyakan sebarang soalan. Lain pula dengan kita pelajar Malaysia, kadang-kadang itu malu dan pasif tidak bertempat. Jom semangat!


Mengimarahkan masjid/surau


Inilah suatu suasana yang saya sangat suka apabila berada di sini. Kalau di negara sendiri, jarang perkara ini berlaku. Biasanya bermusim seperti ketika bulan Ramadhan sahaja. Di sini, bukan setakat pakcik- pakcik tua sahaja yang pergi solat ke masjid. Semua peringkat umur ada. Dari yang kecil sehinggalah kepada yang sudah berumur. Asal tiba sahaja waktu solat, pasti mereka akan ke masjid untuk bersolat (terutama lelaki). Saf-saf yang tersusun pula bukan setakat sebaris dua, bahkan lebih dari itu. Bagus betul.


Setakat ini sahaja dahulu. Banyak lagi sebenarnya. Cuma tak larat pula nak tulis semua rasanya :) Cukuplah saya letakkan tiga terlebih dahulu di sini. Esok pun saya akan merayau lagi. Selang sehari pula. Doakanlah ye. Sekian dahulu. Wassalam.

No comments: