Thursday 18 November 2010

Diari Aidiladha


Tempoh meninggalkan dia yang agak lama membuatkan saya menjadi kaku untuk memulakan bicara hari ini. Lama rasanya tangan ini terhenti. Dia pun mungkin turut merasa kekok seperti saya juga. Menanti reaksi saya seterusnya. Salah siapa sebenarnya ye? Mungkin ini adalah disebabkan oleh saya sendiri yang kurang mengamalkan nilai istiqamah pada diri sendiri. Maafkan. Kadang- kadang timbul juga perasaan untuk meluahkan atau berkongsi serba sedikit perasaan ini, namun seringkali ada sahaja yang menghalang. Tapi saya sebenarnya agak sibuk.. Boleh ke terima alasan itu?

Dikesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan salam aidiladha buat semua. Maaf salah dan silap. Sudah empat tahun rupanya saya menyambut aidiladha di perantauan. Alhamdulillah. Pengalaman yang cukup indah sebenarnya. Jika nak dibandingkan suasana aidiladha di Ardul Kinanah ini dengan di negara sendiri, di sini sambutannya adalah lebih meriah. Malah boleh dikatakan, aidiladha di sini adalah lebih ‘hidup’ berbanding aidilfitri.

Pada kebiasaannya, masyarakat di sini akan mula mengumpulkan binatang- binatang korban beberapa minggu lebih awal sebelum Aidiladha tiba. Oleh kerana kepadatan penduduk yang cukup tinggi di sini, kebanyakan binatang- binatang korban akan dikumpulkan di sudut-sudut jalan. Sesak jadinya :) Bak kata seorang teman, kalau nak dibandingkan masyarakat di sini dengan masyarakat di Malaysia mereka kebanyakannya terdiri daripada golongan yang kurang berada. Tapi kesanggupan mereka untuk menunaikan ibadah korban jauh lebih tinggi. Kenapa ya?

Dan sudah menjadi tradisi masyarakat di sini, solat sunat hari raya akan diadakan pada seawal 6.30 pagi. Pada tahun- tahun lepas biasanya kami serumah akan bersolat di Hayyu Asyir berjemaah bersama pelajar- pelajar Malaysia yang lain. Jadi tahun sengaja mengambil peluang untuk mencuba suasana berjemaah dengan rakyat tempatan pula. Lepas subuh kami pun cepat- cepat bersiap untuk ke masjid Sayyedah Zainab. Sampai sahaja di perkarangan masjid, imam telah memulakan solat dan oleh kerana bilangan jemaah yang terlalu ramai kami terpaksa menghamparkan sejadah untuk bersolat di luar sahaja..Siapa suruh lambat kan.. Mungkin pada tahun akan datang, kami perlu tiba pada pukul 6 pagi untuk solat di dalam masjid agaknya.

Selesai sahaja solat, kami pun balik ke rumah dahulu sebelum bergerak ke Hayyu Asyir untuk membantu kerja- kerja memotong daging korban. Dan tahun ini, kawan- kawan serumah memang semangat menyediakan juadah di pagi raya. Menu special adalah rendang, bakso, kek coklat, koktel dan macam- macam lagi lah. Terbukti kami di sini pun turut beraya, bukan hanya mereka yang berada di tanah air sahaja kan…

Dan hari kedua diteruskan dengan jalan- jalan ke beberapa rumah terbuka. Masa inilah yang digunakan untuk bertemu dengan rakan- rakan dari berlainan universiti. Alhamdulillah. Lama sangat tidak bertemu dengan mereka.

Hari ini pula adalah hari raya ketiga. Dan hari ini, saya dan beberapa orang kawan akan melaksanakan sebuah projek besar. Moga Allah permudahkan.. Ameen… Apa- apapun, moga Allah sentiasa memelihara iman kita :)

No comments: